Sunday, May 17, 2009

Lakar Namamu Di Dada Langit


Puisi ini khas ku tujukan kepada sahabat-sahabatku yang pernah sama-sama menuntut ilmu di UiTM.


Puisi ini ditulis oleh seorang kenalan yang telah pergi meninggalkan aku dan sahabat-sahabat yang mengenali beliau buat selamanya.


Al-Fatihah buat Abang Fairus.


Aku mengenali Abang Fairus semasa kami sama-sama menjadi PMWS.

Telahan aku salah sama sekali, ku andaikan dia seorang yang sombong tetapi ternyata tidak.


Dia merupakan salah seorang pendebat yang hebat mewakili UiTM Melaka. Aku juga pernah sama-sama bertarung dalam perdebatan antara kolej bersama dia di peringkat separuh akhir.


Ternyata pengalaman dia bisa membuatkan kumpulan ku tumpas.

Tidak lupa juga kami pernah menyertai pertandingan syarahan suatu ketika dahulu. Dia banyak memberikan aku tips-tips yang berguna untuk menajamkan lagi kemahiranku.


Aku rasa kali terakhir aku berbicara dengan dia adalah selepas aku menamatkan pengajian diplomaku.

Ketika itu dia sedang menjawat jawatan Setiausaha Sulit kepada seorang ahli politik di Melaka.


Tapi tidak ku duga, apabila seorang rakan sepejabatku menunjukkan ku satu berita di Harian Metro pada tahun 2005, jika tidak silap...Dia terkorban kerana terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya.


Dia dan rakan-rakan dalam perjalanan pulang dari kenduri kahwin di JB dan kenderaan dari arah bertentangan telah bertembung dengan kenderaannya.

Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Amin.


Puisi ini ditulis khas sempena tahun akhir beliau di UiTM dan kepada siswa dan siswi UiTM.


Dia juga memujiku kerana pandai mendeklamasikan puisi..terima kasih ku ucapkan..

Kerana dia menyedarkan bakatku yang terpendam selama ini..

Yang pasti aku bisa menitiskan airmata bila mendeklamasikan puisi ini..

Puisi yang penuh puitis pada perkiraanku..cukup menyentuh jiwa dan sanubariku..

terimalah...


Ketika rintik hujan ketar menyiram ubun-ubun kepala anak muda di seberang jalan

Diiring pekik petir lara yang menyahut tanda mahu jadi sahabat

Muka-muka itu muka bangsa yang sudah terkenal di serobos dunia kerut wajah yang mengalir peluh jadi denai sungai di celah-celah ruang pipi

Yang putih hatinya untuk tukar citra bangsa pemalas, sombong, lupa diri

Walau langkah petang itu diiring rintik renyai pura-pura

Kerana di bahunya sudah dipaku amanah bangsa mulia

Moga anak-anak itu bisa jadi muafif bukannya masbuq

Atas perut bumi gersang yang ditujah mentari tiap hari

Tika konvoi membelah susur-susur ke pintu masuk universiti

Teratak inilah yang membina bangsa melayu mulia

Andai bulan malam itu masih mahu bicara, khabarkan pada mereka

Ini bangsa yang bangun dengan mitos tuah cerita lama yang jadi azam untuk bangun berubah

Bersama lenggok citra manusia yang tukar cerita dunia Lalu kamu, bimbingkan tangan-tangan mereka dari pura-pura mendung pagi

Agar bangsa bisu ini makin matang bila matanya sudah terbuka

Titis-titis air mata yang mengalir laju di atas tikar usang

Bersama tasbih keramat yang bermain-main di jari ibu

Tekak kering ini melafaz zikir dan nama Tuhan bersama unggas dan malam yang kongsi irama lari dari dunia pendusta

Di atas tikar inilah kita pernah menangis

Terkunci indah dalam senyum kenangan manis itu

Pada wajah merah sahabat sebangsa mulia

Kerana engkau tahu apalah ertinya rintangan tanpa disergah guruh dan dilambung ribut

Kerana titis airmata dari bangsa mulia ini bisa membina tautan kedukaan dan keinsafan hakiki

Pun begitu harus engkau redha kerana masih ada antara mereka dan kita yang terlena dengan selimut alam

Moga tidak dimamah Sujaul aqrah balasan Tuhan


Sahabat.... Engkau, aku dan kita rupanya sebuah isi kapal yang berharga

Ketawa, gurau, marah, kecewa rupanya ramuan untuk kita duduk bersama

Lalu titipkan di hati-hati mereka satu mitos usang

Setia tauh pada raja

Setia anum pada bentan

Setia bulan pada pungguk yang tunggu dibawa halwa geliga

Setia melayu pada agama, bangsa dan negara

Moga ibu tua di atas serambi usang itu tidak perlu menangis lagi mendengar bangsa dihina

Moga bapa tua itu tersenyum bila bangsa sudah berubah

Yang rindu pada bangsa itu bila kenal erti merdeka


Sahabat.... Ada di antara kita yang perlu pergi

Berguru bersama citra alam di luar yang asyik bermain boneka dunia

Moga ada antara kita bakal mengubah bangsa lebih besar

Siapa mengerti terubat sudah amanah bangsa mulia

Tanpa cahaya namun gemerlap doa bangsa bukan boyan, serani, qibti dan tibrani


Kerana engkau, aku dan kita seorang hamba Tuhan yang menongkah takdir

Jiwa mulia, jiwa murni, jiwa merdeka……

Selamat tinggal dan doa perpisahan kekasih bernama melayu setia


Hanya satu yang ku pinta...kenang daku dalam doamu...


1 comment: